Kalau kita merasakan bahawa kita masih ada kesedihan lampau, itu tidak mengapa.

Baru-baru ini di dalam sesi usrah refleksi al-Quran di Telegram saya, ada beberapa peserta kongsikan ayat ini.

Kali terakhir saya berinteraksi dengan Surah Yusuf ialah 5 tahun yang lalu. Waktu itu, saya meluangkan masa yang sangat lama, menyelak tafsir demi tafsir, menekuni segala jurnal berkaitan Surah Yusuf.

Boleh saya katakan, tempoh itulah antara tempoh terpuas dalam hidup saya.

Mengembara ke dalam Surah Yusuf bagaikan mengembara bersama detik dan babak yang tertulis, dan mengenali makna pada setiap patah istilahnya bagaikan menyelam masuk ke dalam perasaan wataknya yang dalam.

Ketika ayat ini disebut kembali, segala yang pernah dibaca, dibahas, dan dihayati dulu muncul semula.

Mujur segalanya masih segar diingatan. Bagaikan fail-fail dalam memori yang diketik buka dan segalanya masih di situ.

Hanis Safiyyah, salah seorang rakan usrah saya mengatakan ayat ini sentiasa didakap sejak kami sama-sama membedah inti maksudnya lama dahulu.

Ketika kami pernah berkampung 3 hari 2 malam semata untuk membedah Surah Yusuf.

Saya juga secara peribadi, memegang ayat ini sebagai antara ayat yang menguatkan saat lelah, dan saat saya tidak mahu segera bangun sebaliknya hanya mahu mendakap kesedihan sendiri lama-lama.

قالَ إِنَّما أَشكو بَثّي وَحُزني إِلَى اللَّهِ وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

“Ya’kub berkata, sesungguhnya aku mengadu kesusahanku dan kesedihanku hanya pada Allah. Aku tahu daripada Allah apa yang kamu tidak ketahui.” 

Ayat 86, Surah Yusuf.

Perhatikan perkataan yang Nabi Ya’kub persembahkan.

Nabi Ya’kub tidak meminta kesedihannya dihapuskan. 

Nabi Ya’kub tidak meminta supaya kesedihannya dirawat segera.

Walaupun dalam surah yang lain dan sekian banyak ayat-ayat al-Quran yang mengajukan kepada kita doa agar Allah bantu kita.

Yang mana, ia tidak salah.

Kerana kita hamba, dan Dia Tuhan kita. Kita boleh meminta kepadaNya.

Tapi hubungan seorang hamba dengan tuan, berbeza dengan hubungan seorang pencinta dengan Yang Dicintainya.

Bila kita cintakan seseorang, kita hanya mahu bercerita kepadanya, mengadu kepadanya apa yang kita rasa. Kita cuma mahu sentiasa bercakap kepadanya.

Sama dengan apa yang diucapkan Nabi SAW ketika diuji di Taif. Sebelum sampai kepada doa, Baginda mengadu susahnya, payahnya berdakwah.

“Mengadu” ialah suatu perbuatan yang tidak akan kita lakukan kepada orang lain, melainkan kepada orang yang kita cintai.

“Mengadu” kepada yang dicintai juga ialah suatu perbuatan yang menyembuhkan.

Dan itulah yang Nabi Ya’kub buat ketika ujian dan musibah terlalu besar dihempapkan kepadanya.

Selepas kehilangan Yusuf, kini setelah berapa lama, dia kehilangan Bunyamin pula.

Dua anaknya hilang dari pangkuannya.

Lihat bagaimana telitinya Allah merakamkan perasaan seorang Nabi Ya’kub ini.

“Aku mengadu kesusahanku dan kesedihanku…”

Ada dua perkataan di sini. Bassi wa huzni.

Bassi, jika dirujuk silang oleh banyak tafsir, baik Zamakhsyari, Al-Razi, Al-Azhar, Tahrir wa tanwir, dan kamus Lisanul Arab sendiri, ia membawa maksud yang sama dengan huzni pada asasnya.

Iaitu kesedihan.

Tetapi Bassi merujuk kepada bebanan kesedihan yang lampau, yang telah lama ada dalam diri kita. 

Berpuluh tahun kesedihan itu ada dalam diri kita, ia tidak hilang, ia cuma berjaya kita simpan diam-diam.

Huzni pula merujuk kepada kesedihan tiba-tiba yang muncul tidak dijangka.

Dalam konteks Nabi Ya’kub ini, Baginda mengucapkan ini saat diberitahu Bunyamin tidak pulang bersama mereka.

Bassi ialah kesedihan lampau saat Baginda diberitahu Yusuf telah tiada.

Huzni ialah kesedihan sekarang saat diberitahu Bunyamin tidak pulang bersama.

Dari sudut pemberat istilah, Bassi lebih berat kandungan maknanya. Bassi ialah bebanan kesedihan yang menyesakkan, yang menyusahkan dan yang melelahkan setelah sekian lama.

Dan cuba kita lihat kedudukannya pula. Bassi datang dulu, lepas itu baru huzni. Kerana dalam plot cerita, tragedi Yusuf berlaku dulu sebelum tragedi Bunyamin.

Begitulah telitinya ayat Allah.

Akhir sekali, sebelum saya melalut lebih jauh, saya simpulkan 3 pengajaran yang boleh kita ambil dari ayat ini:

  1. Belajarlah “mengadu” kepada Allah. Carilah ruang dan kesempatan untuk kita mengadu kepada Allah. Berceritalah segalanya kepada Dia. Allah amat menyukai saat hamba-hambaNya mengadu kepadaNya. Itu tandanya kita mahu terus mencintaiNya.
  2. Tidak ada yang lebih Maha Mendengar selain daripada Allah. Lepaskanlah bebanan perasaan itu dengan meluahkan. Usahlah disimpan. Meluahkan itu sihat untuk diri, untuk hati.
  3. Kalau kita merasakan bahawa kita masih ada kesedihan lampau, itu tidak mengapa. Kesedihan lampau itu tidak hilang dan tidak bisa dikuburkan, ia ada dalam diri kita. Cuma kita yang berjaya menyimpannya dalam-dalam selama ini. 

Salam Jumaat buat semua. Semoga kita terus sembuh dengan Surah Yusuf. Amin!

#Swacinta

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s