Tentang Kesempatan

24 Oktober 2020.

Hari yang nyaman. Kerongkong terasa begitu kering. Matahari merunduk; sesal kerana terlalu membahang. Manusia mengurung dalam rumah sendiri.

Juwita sudah mula belajar merengek olok-olok. Ketika dia menangis meminta-minta perhatian, ada ruang dan senjang yang membuatkan saya, seorang abah, memikir ulang banyak hal.

Beberapa hari yang lepas, saya, isteri dan seorang rakan berbual panjang santak ke lewat malam; sehingga saya menyuruh dia tidur sahaja di rumah kami.

Tentang perasaan, tentang perhubungan.

Beberapa bulan yang lalu saya mencatat suatu cerita penting, cerita benar tentang penceraian. Cerita itu saya muatkan di sini, dikongsi di Facebook oleh 500++ kongsian, dan dua tiga orang individu menghantar saya pesan, salah seorangnya menceritakan kisah peribadinya, meminta nasihat atau katanya – apa sahaja yang boleh meredakan kebengkakan perasaan.

Saya tiada jawapan. Menceritakan belum tentu menyelesaikan. Saya cuma berpesan pada dirinya, usah takut memutuskan apa-apapun, dan usah lupa memihak kepada diri sendiri sekali sekala.

Saya cuma bayangkan perasaan manusia bagaikan kucing, atau haiwan peliharaan yang lainnya, atau seperti Juwita, perlu dikasih dibelai sepenuh hati.

Cukup saat itu dia diam dan tidak lagi membalas pesanan saya.

Mungkin kata-kata saya terlalu menghiris.

Semalam tidak semena-mena dia menghantar pesanan panjang. Dipendekkan kisahnya, dia sudah tidak lagi berada dalam perhubungan.

Saya bertanya beberapa soalan terkait dirinya, terkait perbualan saya, isteri dan rakan kami. Tentang kebergantungan dalam perhubungan, tentang ruang dan tentang kesempatan.

Manusia dibalut personaliti atau saya lebih suka menamakannya sebagai keperibadian. Kita; dibalut keperibadian yang tidak sama.

Tentang konsep kufu dalam agama juga – inilah. Persamaan peribadi menjadikan kita manusia yang memilih siapa untuk kita akrabi, siapa untuk kita jauhi, dan siapa untuk kita tetapkan menjadi teman hidup.

“Mungkin kerana selama ini saya sentiasa punya kesempatan untuk memberi. Dan saatnya saya temukan lelaki yang memberi lebih banyak daripada saya, sekali gus mengambus kesempatan untuk saya memberi, saya jadi hilang fungsi.”

Rakan kami, menangis beberapa kali sambil cuba menghabiskan dialognya. Hari itu dia datang dan seperti biasa dia datang untuk menangis dan bercerita. Saya, isteri, dan Juwita mendengar tekun.

Cerita di belakangnya; bekas pasangannya seorang yang boleh dikatakan disfunctional spouse, tidak pernah mendominasi perhubungan sehingga sekecil-kecil perkara seperti tidak dapat membuat keputusan kedai runcit manakah yang boleh dibeli gula dan beras.

Semuanya diuruskan, diterkehadapankan oleh isteri.

Mereka berpisah. Sesudah 6 tahun berkahwin.

Tetapi perpisahan bukan semestinya pengakhiran sebuah cerita, dan sebuah perasaan.

Mereka bertemu semula untuk bertanya khabar dan berbincang beberapa hal. Bekas suaminya berubah, daripada yang diam dan tidak reti memberi reaksi spontan, menjadi lelaki yang terbuka, jujur, mendominasi perbualan dan setiap keputusan.

Hal ini benar-benar mengejutkan.

Bara perasaan kembali tercucuh, pantai yang tenang kembali dibelasah gelora ombak. Cinta yang hampir terkubur, kembali bangkit merangkak mencari jalan pulang.

Dia terkedu.

Apa yang berlaku?

Perpisahan telah memungkinkan sebuah perubahan yang selama ini, 6 tahun, tidak pernah ada dan wujud.

Diakah yang bersalah?

Beberapa kali dia mengutuk diri sendiri; hal itu cuba ditenangkan oleh kami. Menyalah diri sendiri punya konsekuensi yang tidak elok. Kemungkinannya 1001. Bukan salah siapa, dan bukan soal salah atau betul.

Soalnya cuma keadaan.

Saya meyakinkan, sesuatu takdir bekerja dengan sendirinya dan rahsia-rahsianya tidak pernah diketahui. Mungkin ini, perpisahan yang akhirnya memungkinkan sebuah perubahan. Tanpa perpisahan, ini semua tidak berlaku.

Dan dia sendiri berkata, ini bukan tentang orang lain, tetapi tentang dirinya sendiri.

Mungkin selama ini dia punya kesempatan memutuskan, tetapi sekarang dia sedar kesempatan itu sudah hampir tiada. Tiada tanggungan yang selama ini dianggap beban, rupanya ruang dan kesempatan yang membahagiakan dari dalam.

Kehilangan adalah makhluk yang paling berjaya membuatkan kita menyesal dan menyerah.

Saya menulis untuk merakam soal dinamika perhubungan yang rancu dan rumit. Saya meneroka banyak ruang di sebalik perhubungan kerana definisinya – perhubungan ialah kombinasi dua manusia, bererti kombinasi dua kerumitan dan kekiotikan yang tidak terdedah semuanya sekali gus. Dan masa boleh jadi menghidupkan, boleh jadi membunuh.

Yang pasti, perhubungan ialah ruang penyempurnaan peribadi, melalui jalan-jalan yang pahit dan manis, yang lancar dan berliku.

Cerita ini masih belum berakhir, seperti tulisan saya yang tidak mahu menoktahkannya bagaimana.

Cuma mungkin sepotong puisi Neruda boleh menjadi penutup sementara cerita;

Seandainya aku meninggal dan pada siapa

Aku mesti bertanya perihal waktu?

(Pablo Neruda, El libro de las preguntas, 1991)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: