Mengenang Pejuang Merdeka Yang Hilang Dalam Jalur Sejarah

1937, gelombang perubahan minda secara global tidak terlepas sampai juga kepada nusantara, kepada insan bernama Ibrahim Yaakob. Tidak dinafikan, idea “Melayu Raya” adalah cakupan daripada Tan Malaka. Ibrahim Yaakob menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai wadah menyebarkan ideologi kemerdekaan.

Bukan senang. Awal 20-30 an begitu, rakyat masih kering kontang terhadap idea kemerdekaan. Beruntung Jepun masuk. Mentaliti “bergantung kepada orang putih” roboh. Jepun masuk dan rakyat tetap hidup. Waktu itu Ibrahim Yaakob, Burhanuddin al-Helmi, Boestaman, Pak Sako, dan sekian ramai tokoh lain menggerakkan gelombang perubahan minda. Berpindah dari mukim ke daerah, daerah ke negeri bagi menerangkan apa itu “merdeka” dan kenapa pentingnya bersikap mandiri. Di sini mulalah terpupuknya nasionalisme di kalangan rakyat.

1945, “little boy” dan “fat man” menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki. Jepun lumpuh dan berundur. British datang kembali dengan menawarkan Malayan Union. Keadaan rakyat tegang. Hubungan Melayu-Cina renggang. Mokhtaruddin Lasso dengan insiatif baru menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), KMM dan pertubuhan lain dipanggil bergabung.

Dua tahun selepas itu, di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi, PKMM bergerak cergas. PKMM mewujudkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan bergabung dengan All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) bagi mendesak British yang pejam mata kepada mereka kerana hanya berunding dengan UMNO. British dengan rundingan bersama UMNO menubuhkan Perlembagaan Persekutuan. PUTERA-AMCJA membantah dan mendatangkan Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif baru.

Tidak dinafikan, dalam PKMM masih ada agenda komunis “Trotskyist” secara balik tabir. Namun, adanya orang seperti Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan pemimpin-pemimpin lain yang non-komunis menyebabkan agenda itu terbantut. Akhirnya, mereka semua dituduh komunis dan British mengisytiharkan darurat pada 12 Januari 1948 atas alasan serangan komunis. Pada waktu ini, mereka dicampak buang, dan yang mendominasi perjalanan menuntut kemerdekaan hanya UMNO, MCA dan MIC.

Merdeka tiada mampu dicapai tanpa adanya gerakan perubahan minda oleh mereka. Merekalah yang bergiat aktif menerangkan makna “merdeka” dan kepentingan “mandiri”. Mereka membentuk jati diri rakyat.

Saya tidak nafikan jika memang pemimpin dari UMNO, MCA dan MIC juga terlibat, tetapi sejarah seharusnya jujur dan menyeluruh. Dengan sejarah yang jujur sahaja, rasa cinta akan terpupuk. Sejarah yang hipokrit akan memupuk rasa cinta yang juga hipokrit.

Itu hanya 10 tahun sebelum merdeka. Belum lagi kita bicara tentang gerakan pembaharuan yang sangat global oleh pelajar-pelajar di luar negara, timur tengah misalnya, dan gerakan susastera dan media, akhbar Saudara dan Al-Ikhwan misalnya yang lebih awal dari itu.

Mereka inilah yang memberikan harapan kepada rakyat. Sampai mereka mati, nama mereka tenggelam, tetapi harapan rakyat terapung.

Harapan yang terapung inilah dibawa Tunku Abdul Rahman ke London bagi menuntut kemerdekaan.

Merekalah “unsung heroes” bagi saya. Mereka saya kenal selepas keluar dari kerangka sejarah sekolah. Sejarah yang mula dibaca dengan rasa, bukan paksa. Sejarah yang indah, yang mendatangkan sejenis perasaan yang tak mampu digambarkan.

Maka, setelah detik 31 Ogos terhitung, airmata tumpah dengan sendirinya. Di langit, awan yang redup, hujan yang tidak jadi, seakan-akan wajah mereka muncul menerpa, kemudian hilang dibalik percikan bunga api.

Engkaulah wira kami.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: