Bagaimana Sekiranya ini ialah Ramadan Terakhir Kita?

Ketika kami sedang asyik membahas “al-Tahrir wa al-Tanwir” karangan Ibn ‘Asyur, seorang rakan bertanyakan soalan ini kepada saya:

“Kenapa ayat tentang bulan Ramadan dengan ayat tentang kewajipan berpuasa turun dalam dua ayat berbeza?”

Soalan ini menyebabkan saya murung sekejap.

Saya balik rumah, belek beberapa tafsir, renung sedikit ayat tentang berpuasa dan Ramadan dalam Surah al-Baqarah.

Betul. Ayat tentang kewajipan berpuasa iaitu ayat 183, turun dua ayat sebelum ayat tentang kebesaran Ramadan iaitu ayat 185.

Di dalam Fikah, kita belajar, ayat 183 menjadi dalil kewajipan berpuasa. Malah banyak tafsir menghuraikan perspektif fikah apabila menghurai ayat ini.

Tetapi soalan ini masih mengganggu saya. Kenapa perlu turun dalam dua ayat yang berbeza? Kenapa Allah tak sertakan kewajipan puasa dalam bulan Ramadan dalam satu ayat?

Terpaksa saya buka balik beberapa tafsir. Agak sukar mencari jawapan pada persoalan yang sangat brilliant dan rumit ini. Saya tak jumpa dalam beberapa tafsir yang terkenal.

Saya terpaksa membuka semula kitab berkaitan ilmu al-Quran. Begini. Al-Quran mempunyai disiplin ilmu yang bercambah. Terlalu banyak.

Tidak hanya tajwid, qiraat, al-Quran juga ada ilmu yang kita sebut sebagai bayan. Ilmu ini disebut juga sebagai ilmu retorik. Cabang ilmu ini menjelaskan keindahan susun atur ayat al-Quran dan maknanya.

Contohnya, ada sebab sesuatu perkataan, ayat, frasa, atau surah didahulukan. Begitu juga sebaliknya, ada sebab kenapa ia diakhirkan.

Ada sebab misalnya kenapa Surah al-Nas diakhirkan, dan Surah al-Falaq didahulukan.

Ini hanyalah satu cabang ilmu yang disebut sebagai al-Taqdim wa al-Ta’khir.

Ada juga dalam cabang ilmu al-Quran yang membahas tentang kenapa sesuatu istilah digunakan di dalam al-Quran.

Ada juga ilmu tentang kenapa ayat-ayat dipendekkan, dipanjangkan, atau dipisahkan. Semuanya mempunyai hikmah dan makna yang tersendiri.

Jadi untuk menjawab, malah saya sendiri ingin tahu, soalan yang ditanyakan rakan saya tadi, saya terpaksa membaca semula perihal susun atur ayat al-Quran, hikmah susunannya, pemendekannya dan pemisahannya.

Betul. Memang ayat puasa dan ayat Ramadan terletak di dua ayat berbeza. Seolah-olah ada dua cerita berbeza yang tak perlu disatukan.

Al-Quran mahu memisahkan cerita ini walaupun ia hadir secara serentak. Al-Quran mahu memberitahu kita tentang kewajipan berpuasa. Justeru ulama’ mengeluarkan hukum wajib berpuasa.

Selesai bab hukum. Mudah dan jelas.

Selepas itu barulah Al-Quran bercerita tentang bulan Ramadan.

Allah sebut dalam ayat 185, “bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran”.

Kenapa Allah tak sebut tentang bulan yang diturunkan padanya al-Quran ini dalam ayat 183 secara sekali gus tadi?

Kerana puasa dan Ramadan ialah dua perkara berbeza.

Betapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak mendapat keberkatan bulan Ramadan?

Ini juga mengingatkan kita, berpuasa bukanlah satu-satunya syarat untuk mendapat keberkatan Ramadan.

Orang perempuan yang uzur misalnya, mereka tidak berpuasa, tetapi mereka tetap berhak memperoleh keberkatan bulan Ramadan.

Jika kita tinjau lebih jauh lagi, sejauh kamus lisanul arab diterbitkan, perkataan “ramadan” dan perkataan “al-šiãm” itu juga mempunyai dua makna yang sangat berbeza.

Perkataan “ramadan” datang dari kata akarnya, “al-ramdhu”, ia bermaksud “panas yang terik”. Dalam masa yang sama, ia juga disebutkan sebagai “rammadha” yang bermaksud “berhenti seketika”.

Seolah-olah kedatangan bulan yang berkat ini untuk berhenti seketika dari kesibukan dunia yang tak terkejar, merenung diri, meminta dan memohon sebanyak-banyaknya keampunan.

Perkataan “al-šiãm” pula secara bahasanya bermaksud “menahan”, “mendiam” atau “memegang”.

Ini kerana perbuatan berpuasa itu sendiri bererti menahan diri dari makan dan minum sehingga terbenamnya matahari. Kita menahan diri dari keinginan duniawi, kita “mendiam” dari banyak berkata-kata hal-hal yang tak perlu, dan kita “memegang” erat syariat ini ketika manusia yang menganut agama lain tidak melakukannya.

Begitulah sedikit sebanyak, apa yang saya temui setelah terganggu dengan soalan yang cukup rumit tadi.

Mungkin kita tidak merasakan pentingnya mengetahui perbahasan ini, tetapi kita harus bayangkan begini, Ramadan dan puasa ialah dua institusi yang berbeza. Kita dapat kedua-duanya serentak. Di dalam bulan Ramadan, kita dapat al-Quran. Di dalam melaksanakan ibadah puasa, kita dapat ganjaran pahala.

Bagaimana sekiranya kita tidak dapat langsung kedua-duanya? Bagaimana sekiranya ini ialah Ramadan terakhir kita?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: