Ketika Kita Sudah Tidak Lagi Mahu Meluahkan

Petang itu hujan tidak jadi turun.

Mukanya masih ceria. Tote Bag-nya diletak di tepi sofa. Saya dan isteri duduk betul-betul di hadapannya. Televisyen tidak dipasang.

“Apa khabar?”

Seperti dirancang, hujan petang itu memang tidak jadi turun.

Cerita yang akan saya ceritakan ini sebuah kisah benar.

“Sudah tonton Marriage Story?” Saya bertanya. Saya kuatkan kipas, betulkan postur badan.

Dia angguk. Dia menghela nafas yang panjang. Jelas, dia sedang menanggung sesuatu yang berat. Matanya memberitahu, beban ini harus terluah, harus diselesaikan. Bagaikan kata pepatah: asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya (sangat memerlukan pertolongan).

“Saya menangis berulang kali menonton filem itu. Terlalu sedih. Terlalu tepat dengan apa yang saya rasa.”

Siapa tidak sedih jika menonton Marriage Story dan berada di tempatnya.

Hujan petang itu pula degil untuk turun, tidak mahu mendinginkan.

“Apa yang saya rasa ini sudah terlalu dalam. Saya sudah tidak lagi emotional available dengan dia.”

Maaf. Ini bukan kisah cinta.

Ini kisah benar. Kisah seorang manusia, seperti kita, yang telah melalui episod paling duka dalam hidupnya.

“Saya tidak boleh bercakap apa-apa lagi dah. Tak boleh nak jujur. Tak boleh meluahkan apa yang sebenarnya saya rasa. Reaksinya seakan mendengar, tetapi saya tahu, dia sebenarnya tidak mendengar.

Apa yang paling menyedihkan ialah, saya membiarkan keadaan ini sehingga saat ini, selama lebih lima tahun perkahwinan kami. Tidak pernah saling meluahkan dan jujur memberitahu pandangan. Kami hanya menutup segala konflik dengan tidak berbuat apa-apa, dengan harapan, perasaan sakit itu hilang, perasaan tidak puas hati itu kabur.

Saya pula sering menyangka, saya seorang yang rumit. Bukan jenis orang yang suka berkongsi perasaan. Tetapi sebenarnya, dengan orang lain, saya seorang yang boleh meluahkan. Ia telah berlaku banyak kali.

Ini yang menyebabkan saya kembali bertanya, saya, atau keadaan ini yang bermasalah?

Apa yang dimaksudkan dengan emotionally unavailable ialah apabila seseorang itu, seperti saya, struggle untuk menyayangi, mempercayai, dan sukar untuk saya benarkan diri saya dikenali dengan lebih mendalam, dan seakan mustahil untuk saya berkongsi kerumitan perasaan saya sebagai seorang perempuan, seorang isteri.”

Sebelum saya pergi lebih jauh, perlu saya jelaskan. Ini kisah benar. Tetapi ini bukan kisah penceraian semata-mata. Ini bukan lagi kisah siapa jahat siapa baik. Ini kisah benar. Ini kisah tentang apa itu perhubungan (relationship).

Kisah ini, maafkan saya, tidak boleh difahami dengan hanya pergi kursus kahwin dan menonton siri motivasi setiap pagi. Kisah ini mempunyai kerumitannya sendiri. Tidak ada formula yang semua orang boleh pakai dan seorang motivator perkahwinan boleh ulang-ulang dalam setiap sesi kuliahnya.

Tentang emotional availability, ada satu artikel yang boleh dibaca, dikarang oleh Brooke Meredith dan diterbitkan di The Startup. Judulnya, “Emotional Availability in Relationships, and Why It’s Crucial for True Closeness.”

Artikel ini sangat panjang, tetapi penting untuk dihadam. Saya membaca artikel ini sambil mengharapkan hujan petang itu turun. Tetapi hampa.

“Saya tahu saya tak sempurna. Saya rumit, tak mudah. Saya opinioniated. Saya mempunyai strong character. Tetapi saya cuma inginkan perkara yang sangat asas, iaitu ruang. Ruang untuk saya meluahkan. Ruang untuk saya dan dia berbual sepuas-puasnya, sejujur-jujurnya.

Tetapi hari ini baru saya sedar. Ruang itu sudah bertahun tidak ada. Dan saya tidak tahu adakah saya boleh terus hidup tanpa ruang itu.

Apa yang Brooke Meredith cakap itu betul, saya sudah emotionally unavailable. Saya sendiri sudah tidak boleh memahami perasaannya yang dalam. Ada dinding yang tebal yang tak dapat saya tembusi.”

Dia mengambil telefon pintarnya dan membaca peranggan dari apa yang Brooke Meredith tulis:

“Emotional availability is about sharing yourself with someone over time, to develop that connection in an authentic way. Being emotionally available means being reachable.”

Dia menghela nafas perlahan-lahan, mengurut dadanya sendiri. Kemudian menyambung,

“It’s both the ability to feel deeply, as well as to communicate those deep feelings to others. Emotional availability is being able to sit with difficult, upsetting, or challenging emotions, both in yourself and in others, and to not run away from, dismiss, or attempt to minimize them.

Kami berdua tidak ada semua ini. Sudah tidak lagi bertukar cerita, dan mahu bertukar cerita. Hari-hari yang dilalui hanya small talk. Saya sendiri merasa kelat untuk bercerita. Dia pun hanya follow the flow.

Tak ada deep feelings yang kami kongsi. Tak ada. Saya selesaikan masalah saya. Dia selesaikan masalah dia. Saya tahu dia jenis yang easygoing. Bila saya sebut tentang kemungkinan untuk berpisah, dia diam dan tidak mengendahkan.

Saya tahu dan saya yakin, saya sudah cuba untuk develop perbualan secara jujur, dalam, dan ikhlas. Tetapi ia tak pernah berjaya. Dia samada dismiss, tidak tahu nak balas apa, dan attempt to minimize it. Ya, it’s so sad.

Isteri saya menghulurkan tisu. Hujan tidak mahu turun, yang turun ialah airmatanya.

Apa sebenarnya berlaku apabila seseorang sudah tidak lagi mahu meluahkan (emotional unavailable)?

Jawapannya ringkas, ada kisah masa lalu yang rumit dan traumatik. Terasa keseorangan walaupun berdua, terasa terasing dalam banyak decision making, terasa diabaikan secara emosi dan fizikal.

Kesulitan yang dihadapi oleh sahabat baik kami ini malah lebih parah. Dia sudah tidak lagi mampu mencuba.

“Adakah saya masih ada pilihan untuk terus mencuba? Jika tanya pada orang lain, mereka akan beritahu ya, perlu terus mencuba. Takut bergegar arasy dan takut hidup tak diberkati. Mereka tak tahu apa yang saya cuba lakukan sepanjang hampir 10 tahun perkahwinan.

Saya inisiatifkan perjumpaan. Saya mulakan satu persatu. Tetapi kejujuran saya terawang. Tersekat. Akhirnya saya merasa begitu tidak pasti, terasa bodoh dan hodoh. Saya mahu masalah ini dirungkai dengan langkah paling penting, iaitu meneroka apa sebenarnya yang setiap dari kita rasa. Tetapi semua itu gagal.”

Wajahnya sugul. Airmata terus mengalir. Langit semakin gelap. Benar, hujan memang tidak akan turun.

Saya tahu apa akan terjadi kalau dia mula bercerita. Sudah tentu akan ada yang akan berkata, sebagai seorang isteri, kita harus sentiasa bersangka baik dan ikut sahaja cakap suami.

Maafkan saya, perhubungan memerlukan lebih daripada bersangka baik.

Perhubungan memerlukan kejujuran untuk meluahkan perasaan yang kelat dan tak enak. Perhubungan memerlukan kejujuran untuk sama-sama jatuh, sama-sama gagal dan sama-sama menghadapi episod emotional breakdown.

Perhubungan memerlukan keberanian untuk bercakap dari hati yang dalam, rasa yang sebenar, dan tak malu mendedahkan kerapuhan (vulnerability) diri.

Apa yang orang kata tentang komunikasi itu bukanlah semata kemahiran, tetapi kejujuran, keberanian melawan ketakutan dan kemampuan untuk terus percaya bahawa pasangan kita boleh dengar dan boleh terima kita seadanya.

Saya khuatir. Dengan naratif lelaki sebagai ‘qawwamūn a’la al-niša’ (yang sangat perlu diperincikan perbahasannya) saya takut andainya ruang untuk seorang isteri bercakap secara jujur dan spesifik tentang apa yang dia rasa, terus tertutup.

Sedangkan perhubungan ialah perbualan berterusan antara kedua-dua pihak.

Emotional unavailable ialah apabila satu pihak sudah mula takut dan malas menceritakan hal-hal yang dalam kerana gusar ia bakal menimbulkan pergaduhan (lagi).

Ia bukan semata-mata taat dan menurut perintah. Perhubungan ialah perjalanan panjang. Berani mencintai ialah berani mempertaruhkan diri, berani mendedahkan betapa hodohnya diri dan berani untuk percaya bahawa dia akan menerima kita seadanya.

Raquel Franco pernah pernah menyebut, “Vulnerability is scary, but pure. In if you can find bravery.”

Petang semakin larut, matahari terhegeh-hegeh turun. Hujan yang saya harap turun nampaknya semakin mustahil.

“Saya tidak pasti pengakhirannya bagaimana. Yang pasti, saya sudah tidak mampu meneruskan hidup seperti ini lagi,” katanya sebelum beredar pergi.

Petang itu, hujan tidak turun, yang turun hanyalah airmata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: