Jika Penulis Berhenti Menulis, Dunia Kiamat

Gambar di salah sebuah kedai buku epik di Edinburgh, Armchair Bookshop.

Kali terakhir saya menulis blog ialah dua tahun lepas. Dari WordPress, berpindah ke Wix, kemudian selepas saya tahu Wix ialah syarikat yang ditubuhkan oleh Israel dan beroperasi di Israel, saya tarik semula domain yang saya bagi kepada mereka dan kembali kepada WordPress.

Kesannya, saya tidak berjaya memuat naik semula secara auto segala hantaran yang lepas. Baik artikel, cerpen, puisi, tulisan-tulisan pojok dan semuanya. Jadi, hafizulfaiz.com versi 2020 ialah permulaan yang baharu – tanpa menafikan sumbangan hal-hal yang lepas – saya fikir baik juga jika kita sama-sama memandang ke depan.

Kenapa saya menulis blog?

Jawapannya sama macam kenapa saya mula menulis sejak bersekolah lagi. Tetapi kali ini, tujuan blog ialah meneruskan capaian mesej, konten, pesan-pesan, dan yang paling penting sekali, memaksa saya untuk tidak berhenti menulis.

Selebihnya, blog ialah platform untuk saya mempraktikkan free writing. Seorang penulis mesti sentiasa mengasah bakat menulis dengan dua perkara: membaca, dan menulis.

Seorang penulis seperti kata Sasterawan Negara Baha Zain, tidak akan menulis lebih baik kalau dia berhenti menulis kerana menulis ialah pertukangan yang berterusan dan memerlukan usaha yang tinggi.

Sebenarnya soal menulis perkara-perkara biasa yang dipanggil free writing ini bukanlah baharu. Ramai penulis mengamalkannya dan mengajak orang untuk mengamalkannya. Tolkien terpaksa menulis hal-hal yang menurutnya sampah tetapi sampah-sampah itu berkumpul menjadi Hobbit.

Elizabeth Kostova terpaksa menghabiskan banyak masa merangka berbanding menyiapkan The Historian.

Hari ini, menulis ialah kerja yang asing dan terlalu tidak penting. Manusia diajak menulis di laman media sosial kerana di sana, lebih ramai orang bersosial.

Banyak kajian sudah berulang kali mendedahkan bahayanya di mana. Seorang pembaca buku boleh disibukkan dengan media sosial dan akhirnya mengurangkan stamina membaca. Sebuah artikel berjumlah 500 patah perkataan pun belum tentu mampu dihabiskan selepas lima tahun bergelut dengan Tweet dan Facebook.

Begitu juga dengan penulis.

Menjadi penulis di zaman dunia diceroboh secara gasar oleh Revolusi Industri 4.0 ialah pekerjaan yang bodoh, tidak mendatangkan untung, malah lebih merugikan.

Tetapi seorang penulis jugalah yang menerangkan apa itu IR4.0 dan apa itu kemanusiaan. Seorang penulis jugalah yang menyedarkan kita tentang hal-hal yang telah dilupakan.

Saya katakan begini, jika penulis berhenti menulis, dunia kiamat. Justeru, hantaran ini ialah untuk semua penulis, kita perlu terus menulis dan menghasil bahan bacaan untuk memandaikan manusia. Kita tidak boleh terus terperuk di bilik seorang diri. Kita harus muncul, dan terus berkali-kali cuba menawarkan penyelesaian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: