Bagaimana Sekiranya ini ialah Ramadan Terakhir Kita?

Ketika kami sedang asyik membahas “al-Tahrir wa al-Tanwir” karangan Ibn ‘Asyur, seorang rakan bertanyakan soalan ini kepada saya:

“Kenapa ayat tentang bulan Ramadan dengan ayat tentang kewajipan berpuasa turun dalam dua ayat berbeza?”

Soalan ini menyebabkan saya murung sekejap.

Saya balik rumah, belek beberapa tafsir, renung sedikit ayat tentang berpuasa dan Ramadan dalam Surah al-Baqarah.

Betul. Ayat tentang kewajipan berpuasa iaitu ayat 183, turun dua ayat sebelum ayat tentang kebesaran Ramadan iaitu ayat 185.

Di dalam Fikah, kita belajar, ayat 183 menjadi dalil kewajipan berpuasa. Malah banyak tafsir menghuraikan perspektif fikah apabila menghurai ayat ini.

Tetapi soalan ini masih mengganggu saya. Kenapa perlu turun dalam dua ayat yang berbeza? Kenapa Allah tak sertakan kewajipan puasa dalam bulan Ramadan dalam satu ayat?

Terpaksa saya buka balik beberapa tafsir. Agak sukar mencari jawapan pada persoalan yang sangat brilliant dan rumit ini. Saya tak jumpa dalam beberapa tafsir yang terkenal.

Saya terpaksa membuka semula kitab berkaitan ilmu al-Quran. Begini. Al-Quran mempunyai disiplin ilmu yang bercambah. Terlalu banyak.

Tidak hanya tajwid, qiraat, al-Quran juga ada ilmu yang kita sebut sebagai bayan. Ilmu ini disebut juga sebagai ilmu retorik. Cabang ilmu ini menjelaskan keindahan susun atur ayat al-Quran dan maknanya.

Contohnya, ada sebab sesuatu perkataan, ayat, frasa, atau surah didahulukan. Begitu juga sebaliknya, ada sebab kenapa ia diakhirkan.

Ada sebab misalnya kenapa Surah al-Nas diakhirkan, dan Surah al-Falaq didahulukan.

Ini hanyalah satu cabang ilmu yang disebut sebagai al-Taqdim wa al-Ta’khir.

Ada juga dalam cabang ilmu al-Quran yang membahas tentang kenapa sesuatu istilah digunakan di dalam al-Quran.

Ada juga ilmu tentang kenapa ayat-ayat dipendekkan, dipanjangkan, atau dipisahkan. Semuanya mempunyai hikmah dan makna yang tersendiri.

Jadi untuk menjawab, malah saya sendiri ingin tahu, soalan yang ditanyakan rakan saya tadi, saya terpaksa membaca semula perihal susun atur ayat al-Quran, hikmah susunannya, pemendekannya dan pemisahannya.

Betul. Memang ayat puasa dan ayat Ramadan terletak di dua ayat berbeza. Seolah-olah ada dua cerita berbeza yang tak perlu disatukan.

Al-Quran mahu memisahkan cerita ini walaupun ia hadir secara serentak. Al-Quran mahu memberitahu kita tentang kewajipan berpuasa. Justeru ulama’ mengeluarkan hukum wajib berpuasa.

Selesai bab hukum. Mudah dan jelas.

Selepas itu barulah Al-Quran bercerita tentang bulan Ramadan.

Allah sebut dalam ayat 185, “bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran”.

Kenapa Allah tak sebut tentang bulan yang diturunkan padanya al-Quran ini dalam ayat 183 secara sekali gus tadi?

Kerana puasa dan Ramadan ialah dua perkara berbeza.

Betapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak mendapat keberkatan bulan Ramadan?

Ini juga mengingatkan kita, berpuasa bukanlah satu-satunya syarat untuk mendapat keberkatan Ramadan.

Orang perempuan yang uzur misalnya, mereka tidak berpuasa, tetapi mereka tetap berhak memperoleh keberkatan bulan Ramadan.

Jika kita tinjau lebih jauh lagi, sejauh kamus lisanul arab diterbitkan, perkataan “ramadan” dan perkataan “al-šiãm” itu juga mempunyai dua makna yang sangat berbeza.

Perkataan “ramadan” datang dari kata akarnya, “al-ramdhu”, ia bermaksud “panas yang terik”. Dalam masa yang sama, ia juga disebutkan sebagai “rammadha” yang bermaksud “berhenti seketika”.

Seolah-olah kedatangan bulan yang berkat ini untuk berhenti seketika dari kesibukan dunia yang tak terkejar, merenung diri, meminta dan memohon sebanyak-banyaknya keampunan.

Perkataan “al-šiãm” pula secara bahasanya bermaksud “menahan”, “mendiam” atau “memegang”.

Ini kerana perbuatan berpuasa itu sendiri bererti menahan diri dari makan dan minum sehingga terbenamnya matahari. Kita menahan diri dari keinginan duniawi, kita “mendiam” dari banyak berkata-kata hal-hal yang tak perlu, dan kita “memegang” erat syariat ini ketika manusia yang menganut agama lain tidak melakukannya.

Begitulah sedikit sebanyak, apa yang saya temui setelah terganggu dengan soalan yang cukup rumit tadi.

Mungkin kita tidak merasakan pentingnya mengetahui perbahasan ini, tetapi kita harus bayangkan begini, Ramadan dan puasa ialah dua institusi yang berbeza. Kita dapat kedua-duanya serentak. Di dalam bulan Ramadan, kita dapat al-Quran. Di dalam melaksanakan ibadah puasa, kita dapat ganjaran pahala.

Bagaimana sekiranya kita tidak dapat langsung kedua-duanya? Bagaimana sekiranya ini ialah Ramadan terakhir kita?

Ketika Kita Sudah Tidak Lagi Mahu Meluahkan

Petang itu hujan tidak jadi turun.

Mukanya masih ceria. Tote Bag-nya diletak di tepi sofa. Saya dan isteri duduk betul-betul di hadapannya. Televisyen tidak dipasang.

“Apa khabar?”

Seperti dirancang, hujan petang itu memang tidak jadi turun.

Cerita yang akan saya ceritakan ini sebuah kisah benar.

“Sudah tonton Marriage Story?” Saya bertanya. Saya kuatkan kipas, betulkan postur badan.

Dia angguk. Dia menghela nafas yang panjang. Jelas, dia sedang menanggung sesuatu yang berat. Matanya memberitahu, beban ini harus terluah, harus diselesaikan. Bagaikan kata pepatah: asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya (sangat memerlukan pertolongan).

“Saya menangis berulang kali menonton filem itu. Terlalu sedih. Terlalu tepat dengan apa yang saya rasa.”

Siapa tidak sedih jika menonton Marriage Story dan berada di tempatnya.

Hujan petang itu pula degil untuk turun, tidak mahu mendinginkan.

“Apa yang saya rasa ini sudah terlalu dalam. Saya sudah tidak lagi emotional available dengan dia.”

Maaf. Ini bukan kisah cinta.

Ini kisah benar. Kisah seorang manusia, seperti kita, yang telah melalui episod paling duka dalam hidupnya.

“Saya tidak boleh bercakap apa-apa lagi dah. Tak boleh nak jujur. Tak boleh meluahkan apa yang sebenarnya saya rasa. Reaksinya seakan mendengar, tetapi saya tahu, dia sebenarnya tidak mendengar.

Apa yang paling menyedihkan ialah, saya membiarkan keadaan ini sehingga saat ini, selama lebih lima tahun perkahwinan kami. Tidak pernah saling meluahkan dan jujur memberitahu pandangan. Kami hanya menutup segala konflik dengan tidak berbuat apa-apa, dengan harapan, perasaan sakit itu hilang, perasaan tidak puas hati itu kabur.

Saya pula sering menyangka, saya seorang yang rumit. Bukan jenis orang yang suka berkongsi perasaan. Tetapi sebenarnya, dengan orang lain, saya seorang yang boleh meluahkan. Ia telah berlaku banyak kali.

Ini yang menyebabkan saya kembali bertanya, saya, atau keadaan ini yang bermasalah?

Apa yang dimaksudkan dengan emotionally unavailable ialah apabila seseorang itu, seperti saya, struggle untuk menyayangi, mempercayai, dan sukar untuk saya benarkan diri saya dikenali dengan lebih mendalam, dan seakan mustahil untuk saya berkongsi kerumitan perasaan saya sebagai seorang perempuan, seorang isteri.”

Sebelum saya pergi lebih jauh, perlu saya jelaskan. Ini kisah benar. Tetapi ini bukan kisah penceraian semata-mata. Ini bukan lagi kisah siapa jahat siapa baik. Ini kisah benar. Ini kisah tentang apa itu perhubungan (relationship).

Kisah ini, maafkan saya, tidak boleh difahami dengan hanya pergi kursus kahwin dan menonton siri motivasi setiap pagi. Kisah ini mempunyai kerumitannya sendiri. Tidak ada formula yang semua orang boleh pakai dan seorang motivator perkahwinan boleh ulang-ulang dalam setiap sesi kuliahnya.

Tentang emotional availability, ada satu artikel yang boleh dibaca, dikarang oleh Brooke Meredith dan diterbitkan di The Startup. Judulnya, “Emotional Availability in Relationships, and Why It’s Crucial for True Closeness.”

Artikel ini sangat panjang, tetapi penting untuk dihadam. Saya membaca artikel ini sambil mengharapkan hujan petang itu turun. Tetapi hampa.

“Saya tahu saya tak sempurna. Saya rumit, tak mudah. Saya opinioniated. Saya mempunyai strong character. Tetapi saya cuma inginkan perkara yang sangat asas, iaitu ruang. Ruang untuk saya meluahkan. Ruang untuk saya dan dia berbual sepuas-puasnya, sejujur-jujurnya.

Tetapi hari ini baru saya sedar. Ruang itu sudah bertahun tidak ada. Dan saya tidak tahu adakah saya boleh terus hidup tanpa ruang itu.

Apa yang Brooke Meredith cakap itu betul, saya sudah emotionally unavailable. Saya sendiri sudah tidak boleh memahami perasaannya yang dalam. Ada dinding yang tebal yang tak dapat saya tembusi.”

Dia mengambil telefon pintarnya dan membaca peranggan dari apa yang Brooke Meredith tulis:

“Emotional availability is about sharing yourself with someone over time, to develop that connection in an authentic way. Being emotionally available means being reachable.”

Dia menghela nafas perlahan-lahan, mengurut dadanya sendiri. Kemudian menyambung,

“It’s both the ability to feel deeply, as well as to communicate those deep feelings to others. Emotional availability is being able to sit with difficult, upsetting, or challenging emotions, both in yourself and in others, and to not run away from, dismiss, or attempt to minimize them.

Kami berdua tidak ada semua ini. Sudah tidak lagi bertukar cerita, dan mahu bertukar cerita. Hari-hari yang dilalui hanya small talk. Saya sendiri merasa kelat untuk bercerita. Dia pun hanya follow the flow.

Tak ada deep feelings yang kami kongsi. Tak ada. Saya selesaikan masalah saya. Dia selesaikan masalah dia. Saya tahu dia jenis yang easygoing. Bila saya sebut tentang kemungkinan untuk berpisah, dia diam dan tidak mengendahkan.

Saya tahu dan saya yakin, saya sudah cuba untuk develop perbualan secara jujur, dalam, dan ikhlas. Tetapi ia tak pernah berjaya. Dia samada dismiss, tidak tahu nak balas apa, dan attempt to minimize it. Ya, it’s so sad.

Isteri saya menghulurkan tisu. Hujan tidak mahu turun, yang turun ialah airmatanya.

Apa sebenarnya berlaku apabila seseorang sudah tidak lagi mahu meluahkan (emotional unavailable)?

Jawapannya ringkas, ada kisah masa lalu yang rumit dan traumatik. Terasa keseorangan walaupun berdua, terasa terasing dalam banyak decision making, terasa diabaikan secara emosi dan fizikal.

Kesulitan yang dihadapi oleh sahabat baik kami ini malah lebih parah. Dia sudah tidak lagi mampu mencuba.

“Adakah saya masih ada pilihan untuk terus mencuba? Jika tanya pada orang lain, mereka akan beritahu ya, perlu terus mencuba. Takut bergegar arasy dan takut hidup tak diberkati. Mereka tak tahu apa yang saya cuba lakukan sepanjang hampir 10 tahun perkahwinan.

Saya inisiatifkan perjumpaan. Saya mulakan satu persatu. Tetapi kejujuran saya terawang. Tersekat. Akhirnya saya merasa begitu tidak pasti, terasa bodoh dan hodoh. Saya mahu masalah ini dirungkai dengan langkah paling penting, iaitu meneroka apa sebenarnya yang setiap dari kita rasa. Tetapi semua itu gagal.”

Wajahnya sugul. Airmata terus mengalir. Langit semakin gelap. Benar, hujan memang tidak akan turun.

Saya tahu apa akan terjadi kalau dia mula bercerita. Sudah tentu akan ada yang akan berkata, sebagai seorang isteri, kita harus sentiasa bersangka baik dan ikut sahaja cakap suami.

Maafkan saya, perhubungan memerlukan lebih daripada bersangka baik.

Perhubungan memerlukan kejujuran untuk meluahkan perasaan yang kelat dan tak enak. Perhubungan memerlukan kejujuran untuk sama-sama jatuh, sama-sama gagal dan sama-sama menghadapi episod emotional breakdown.

Perhubungan memerlukan keberanian untuk bercakap dari hati yang dalam, rasa yang sebenar, dan tak malu mendedahkan kerapuhan (vulnerability) diri.

Apa yang orang kata tentang komunikasi itu bukanlah semata kemahiran, tetapi kejujuran, keberanian melawan ketakutan dan kemampuan untuk terus percaya bahawa pasangan kita boleh dengar dan boleh terima kita seadanya.

Saya khuatir. Dengan naratif lelaki sebagai ‘qawwamūn a’la al-niša’ (yang sangat perlu diperincikan perbahasannya) saya takut andainya ruang untuk seorang isteri bercakap secara jujur dan spesifik tentang apa yang dia rasa, terus tertutup.

Sedangkan perhubungan ialah perbualan berterusan antara kedua-dua pihak.

Emotional unavailable ialah apabila satu pihak sudah mula takut dan malas menceritakan hal-hal yang dalam kerana gusar ia bakal menimbulkan pergaduhan (lagi).

Ia bukan semata-mata taat dan menurut perintah. Perhubungan ialah perjalanan panjang. Berani mencintai ialah berani mempertaruhkan diri, berani mendedahkan betapa hodohnya diri dan berani untuk percaya bahawa dia akan menerima kita seadanya.

Raquel Franco pernah pernah menyebut, “Vulnerability is scary, but pure. In if you can find bravery.”

Petang semakin larut, matahari terhegeh-hegeh turun. Hujan yang saya harap turun nampaknya semakin mustahil.

“Saya tidak pasti pengakhirannya bagaimana. Yang pasti, saya sudah tidak mampu meneruskan hidup seperti ini lagi,” katanya sebelum beredar pergi.

Petang itu, hujan tidak turun, yang turun hanyalah airmata.

Menonton Romance is a Bonus Book

Terus-terang saya katakan, saya dinamik.

Begini. Saya boleh menonton dengan tekun Inception, menghurai dengan mendalam Interstellar, dan mencanang kepada ramai orang untuk menonton The Platform.

Tetapi saya tidak boleh membiarkan diri saya terpenjara dengan kebengisan plot atau jalan cerita. Saya tidak boleh membeban diri dengan kekosongan yang wujud dalam The Platform.

Saya tetap akrab dengan Midnight In Paris, Notting Hill, trilogi Before. Saya tetap mahu menonton The Internship banyak kali kerana saya sangat meminati Anne Hathaway. Saya semalam menciap di lama Twitter sendiri, ada drama atau filem yang plotnya ringan, yang mana tujuannya memang untuk meringankan bebanan perasaan kita.

Sebagai manusia, kita sangat memerlukan happy ending. Samada secara mimpi, atau realiti.

Justeru filem atau drama yang mudah, ringan, banyak babak di mana dialognya memujuk, mendalam, dan meneroka mandala perasaan malah menggodam kejujuran, sebenarnya sangat mudah menyentuh perasaan kita – sebagai penonton.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua lagi saya sudah mula menonton Romance is a Bonus Book.

Yang beria suruh saya menonton drama bersiri Korea ini ialah isteri saya sendiri.

Saya mempunyai masalah dengan banyak drama bersiri Korea (kini sesetengahnya) kerana terlalu draggy. Banyak babak yang saya kira tidak perlu. Imbas balik sahaja sudah makan banyak masa dalam sesebuah episod.

Tetapi kerana Romance is a Bonus Book bercerita tentang buku, saya tekad untuk bersabar kerana saya tahu sangat, Korea mempunyai konsep yang tersendiri dalam menyusun cerita dan menyunting cerita mereka.

Hari ini, saya sudah sangkut dengan Romance is a Bonus Book dan tidak boleh berhenti dari memikirkan apa yang bakal terjadi. Satu lagi drama yang banyak mengajar saya untuk menyusun jalan cerita dengan baik dan kemas.

Ya, kerana saya seorang novelis. Saya perlu banyak merenung dan merangka cerita. Semasa Surat-surat dari Maninjau keluar, orang berterima kasih kepada saya kerana wacananya, tetapi ramai penulis mapan menyarankan saya merangka jalan cerita yang lebih kemas.

Seminggu ini saya banyak menconteng idea-idea. Saya banyak memikirkan serinci-rincinya, apakah plot yang baik, kemas dan tersusun?

Kang Dan-i dalam Romance is a Bonus Book

Romance is a Bonus Book menjadikan saya, selain dari terpesona dengan kerja-kerja perbukuan syarikat Gyeoroo, menyoal semula kemampuan saya merangka jalan cerita.

Tidak apa. Soal saya merangka jalan cerita, kita ketepikan dulu.

Tetapi kenapa Romance is a Bonus Book agak signifikan? Bagi saya, bagi semua pembaca, dan khususnya bagi pemain-pemain industrik perbukuan yang sedang tenat dan nazak?

Jujur saya katakan, saya bercita-cita untuk menjadi founding kepada syarikat buku seperti Gyeoroo. Utuh, terus bekerja untuk memastikan masyarakat membaca (walaupun ini semua mimpi kerana zaman ini ialah zaman syarikat-syarikat penerbitan sedang uzur).

Sambil mencerap realiti membaca masyarakat kita, saya terfikir, mungkin sudah tiba masanya, kita tidak perlu menjadikan sastera berat sebagai fundamental kepada industri penerbitan.

Kita perlukan cerita.

Cerita yang hebat, yang kemas, yang menggerunkan, yang menyeramkan, yang mendebarkan. Kita perlu lebih ramai Ramlee Awang Murshid.

Kita perlu keluar daripada kepompong sastera, jengah ke masyarakat dengan menggunakan bakat mereka cerita yang kita ada, dan tawarkan cerita sebagai hiburan, bukan lagi bahan paksaan membaca yang berat.

Cerita masih alat hiburan yang berkesan. Platform mungkin berubah. Tetapi cerita tentang substance yang relevan.

Jika semua penulis sastera tidak hanya hanyut dengan circle mereka sahaja, tawarkan karya-karya sedia ada kepada masyarakat kebanyakan, mungkin corak baru bakal terbentuk.

Kita tidak lagi tersangkut dengan kitaran yang sama; bergantung kepada suntikan dana dan mempromosikan kebencian kepada menteri yang tidak peruntukkan dana, sedangkan masalah asas yang kita tidak mahu mengaku masih tidak selesai, iaitu buku kita tidak laku. Karya kita hanya kita dan kawan kita dan kawan kepada kawan kita yang baca.

Menulis perkara yang sama, terbit dengan syarikat yang sama, jual kepada orang yang sama, disunting oleh editor yang sama, buat bedah buku pula, dengan kawan-kawan yang sama.

Walaupun kita menulis hal-hal yang berat seperti menghurai pemikiran Fariduddin al-Attar, kita sebenarnya selesa, dan tidak mahu melawan keselesaan itu dengan mengaku bahawa diri kita stagnant dan monoton.

Perlu kita tahu satu fakta; syarikat buku ialah bisnes yang memerlukan aliran tunai yang kuat. Buku pula ialah produk. Kalau buku tidak dijual, syarikat buku mati.

Sebagai penulis, kita ialah penghasil produk. Kita perlu faham soal kitaran bisnes agar kita tidak terlalu berkhayal dan seronok sendiri dengan karya kita.

Di dalam Romance is a Bonus Book, seorang editor dan Team Manager syarikat Gyeoroo, Bong ji-Hong terlalu taksub dengan puisi hingga memaksa syarikat menerbitkan koleksi puisi penyair kegemarannya.

Walaupun syarikat sangat menghormati penyair tersebut, syarikat memutuskan untuk tidak menerbitkan koleksi puisi tersebut kerana pasaran puisi tidak mampu mendatangkan aliran tunai yang kuat untuk syarikat bertahan.

Lihat drama Korea, buat cerita buku boleh popular. Kenapa?

Apabila ita faham isu asas ini, kita akan faham kenapa sastera kita hanya pada khalayak tertentu, tidak keluar menemui khalayak yang baru.

Drama bersiri ini mengajar saya untuk runtuhkan keegoan diri. Belajar untuk fahami khalayak, keluar dari kepompong yang sama tanpa meninggalkan values yang kita bina sebagai seorang penulis.

Satu hari nanti, dengan izin Allah, industri buku kembali bertapak dengan kukuh dan masyarakat kita lebih membaca.

Sebagai penulis, ayuh, terus menulis dan carilah ketidakselesaan. Kita perlu lakukan sesuatu berulang kali sehinggalah ia mengena dengan keperluan dan selera masyarakat.

Sebagai pembaca, jangan kedekut. Belilah buku. Hadiahkan buku kepada orang. Kitalah yang menjadi pendesak kepada budaya membaca sebagai budaya yang new normal.

Jika Penulis Berhenti Menulis, Dunia Kiamat

Gambar di salah sebuah kedai buku epik di Edinburgh, Armchair Bookshop.

Kali terakhir saya menulis blog ialah dua tahun lepas. Dari WordPress, berpindah ke Wix, kemudian selepas saya tahu Wix ialah syarikat yang ditubuhkan oleh Israel dan beroperasi di Israel, saya tarik semula domain yang saya bagi kepada mereka dan kembali kepada WordPress.

Kesannya, saya tidak berjaya memuat naik semula secara auto segala hantaran yang lepas. Baik artikel, cerpen, puisi, tulisan-tulisan pojok dan semuanya. Jadi, hafizulfaiz.com versi 2020 ialah permulaan yang baharu – tanpa menafikan sumbangan hal-hal yang lepas – saya fikir baik juga jika kita sama-sama memandang ke depan.

Kenapa saya menulis blog?

Jawapannya sama macam kenapa saya mula menulis sejak bersekolah lagi. Tetapi kali ini, tujuan blog ialah meneruskan capaian mesej, konten, pesan-pesan, dan yang paling penting sekali, memaksa saya untuk tidak berhenti menulis.

Selebihnya, blog ialah platform untuk saya mempraktikkan free writing. Seorang penulis mesti sentiasa mengasah bakat menulis dengan dua perkara: membaca, dan menulis.

Seorang penulis seperti kata Sasterawan Negara Baha Zain, tidak akan menulis lebih baik kalau dia berhenti menulis kerana menulis ialah pertukangan yang berterusan dan memerlukan usaha yang tinggi.

Sebenarnya soal menulis perkara-perkara biasa yang dipanggil free writing ini bukanlah baharu. Ramai penulis mengamalkannya dan mengajak orang untuk mengamalkannya. Tolkien terpaksa menulis hal-hal yang menurutnya sampah tetapi sampah-sampah itu berkumpul menjadi Hobbit.

Elizabeth Kostova terpaksa menghabiskan banyak masa merangka berbanding menyiapkan The Historian.

Hari ini, menulis ialah kerja yang asing dan terlalu tidak penting. Manusia diajak menulis di laman media sosial kerana di sana, lebih ramai orang bersosial.

Banyak kajian sudah berulang kali mendedahkan bahayanya di mana. Seorang pembaca buku boleh disibukkan dengan media sosial dan akhirnya mengurangkan stamina membaca. Sebuah artikel berjumlah 500 patah perkataan pun belum tentu mampu dihabiskan selepas lima tahun bergelut dengan Tweet dan Facebook.

Begitu juga dengan penulis.

Menjadi penulis di zaman dunia diceroboh secara gasar oleh Revolusi Industri 4.0 ialah pekerjaan yang bodoh, tidak mendatangkan untung, malah lebih merugikan.

Tetapi seorang penulis jugalah yang menerangkan apa itu IR4.0 dan apa itu kemanusiaan. Seorang penulis jugalah yang menyedarkan kita tentang hal-hal yang telah dilupakan.

Saya katakan begini, jika penulis berhenti menulis, dunia kiamat. Justeru, hantaran ini ialah untuk semua penulis, kita perlu terus menulis dan menghasil bahan bacaan untuk memandaikan manusia. Kita tidak boleh terus terperuk di bilik seorang diri. Kita harus muncul, dan terus berkali-kali cuba menawarkan penyelesaian.

Mungkin Merasa Bosan Ialah Apa Yang Kita Perlukan

Saya sunting semula sebuah artikel yang pernah saya tulis lima tahun lepas untuk disiarkan di blog sendiri.

Waktu itu saya mempunyai kegilaan membaca tentang seorang ahli falsafah terkenal Jerman, Friedrich Nietzcshe. Saya terperangkap dalam memahami apa maksud sebenar amor fati yang Nietzcshe cuba sampaikan dan saya keliru untuk menggariskan dengan jelas perihal good dan evil dalam pemikiran Nietzcshe.

Kesimpulan saya waktu itu mudah, Nietzcshe tidak lain tidak bukan cuma seorang manusia seperti kita yang tidak mahu mati sebagai seorang yang membosankan.

Hari ini, ketika saya menulis artikel ini, Covid-19 telah meragut 10 nyawa rakyat Malaysia dan telah membuatkan lebih 1,000 orang terpaksa dikuarantin.

Kerajaan juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan bermula 22 Mac 2020, Angkatan Tentera Malaysia juga dikerah untuk membantu pihak polis mengawal perintah ini. Kementerian Kesihatan malah menyatakan lebih kurang 10% rakyat Malaysia masih degil untuk akur dengan perintah ini.

Dalam masa yang sama, 90% rakyat Malaysia menurut Kementerian Kesihatan akur dan melakukan yang terbaik sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama melawan Covid-19. Dan 90% ini jugalah yang telah menyebabkan ruang media sosial menjadi sangat padat.

Namun, rata-rata pengguna sebenarnya meluahkan rasa yang sama, iaitu bosan duduk di rumah.

Ini membuatkan saya terpanggil untuk membaca semula artikel lima tahun lepas dan menyuntingnya semula. Saya fikir, wajar untuk saya kongsikan semula untuk tatapan ramai.

Gangguan

Friedrich Nietzcshe

“Is life not a thousand times too short for us to bore ourselves?” – Friedrich Nietzcshe.

Mari kita bergerak ke dunia lain, jauh dari dunia Nietzcshe yang saya seringkali tersalah eja namanya itu.

Salah seorang ahli falsafah yang sangat signifikan dalam tradisi Islam ialah tidak lain tidak bukan Imam al-Ghazali.

Saya rasa saya tidak perlu menuliskan biografi al-Ghazali di sini. Sudah tentu beliau telah dikenali secara meluas di Malaysia dan di seluruh dunia.

Jika kita membaca sepintas lalu perjalanan hidup al-Ghazali, kita akan dapati suatu perkara yang sangat penting, al-Ghazali menghabiskan hidupnya untuk mengajak orang Islam – bukan untuk meruntuhkan berhala-berhala besar yang kita nampak, tetapi meruntuhkan berhala-berhala dalaman diri yang kita tidak nampak.

Al-Ghazali bercakap tentang sifat ego, sombong, kecelaruan sikap diri, etika, akhlak. Al-Ghazali beritahu kita bahawa musuh yang paling bahaya tidak wujud di luar, tetapi di dalam diri.

Salah satu magnum opus al-Ghazali ialah Ihya’ Ulum ad-Din. Kitab ini jika kita baca, kita akan mengenalinya sebagai sebuah kitab fikah. Tetapi jika kita baca lagi, kita akan dapati apa yang al-Ghazali ingin sampaikan ialah keperluan untuk kita memperbaharui kesedaran beribadah kita.

Terperangkap di dalam rutin sebenarnya ialah ‘musuh’ yang paling kuat bekerja hari ini. ‘The Sacred Monotony’ ini telah menyebabkan manusia hilang arah, hanyut di dalam kesibukan dan rutin yang padat, sehingga manusia tidak lagi mempunyai masa untuk merenung dan berfikir tentang diri sendiri.

Situasi ini membuatkan kita (manusia) menjadi seakan robot yang melakukan ibadah. Robot yang mengambil wuduk dan solat lima waktu. Robot yang membaca al-Quran. Robot yang melakukan amal kebaikan.

Namun adakah segala amal ibadah robot ini ada nilainya?

Inilah yang al-Ghazali ingin bangkitkan. Umat Islam bermusuh dengan makhluk yang jutaan tahun berpengalaman menghasut manusia. Umat Islam pula dijajah dengan kemodenan teknologi yang deras. Umat Islam terhimpit, tersekat, disuap dengan pelbagai kemewahan yang tidak terhad.

Hamza Yusuf mengatakan, membaca Ihya’ akan membuatkan kita pedih dan tidak selesa kerana al-Ghazali mengkritik bukan orang lain tetapi kita ­– umat Islam yang munafik, menipu dalam beribadah, mahukan dunia, mahukan perhatian, mahukan publisiti.

Sehingga di akhirnya, umat manusia sudah kepupusan nilai, kekosongan jiwa, dan mudah hanyut dengan arus-arus yang sengaja dicipta oleh pihak yang mahu meraih keuntungan.

Lebih menggerunkan apabila keadaan ini sukar ditentukan, amat kabur, dan terlalu mempersona. Terlalu banyak, apa yang disebut sebagai dalam seven deadly sins sebagai accidia (sloth) yang Hamza Yusuf huraikan sebagai distractibility – gangguan yang sengaja menyibukkan manusia agar manusia tidak lagi mempunyai masa untuk berfikir tentang diri mereka sendiri.

Dan tidak dapat kita nafikan, accidia yang paling berjaya memerangkap kita hari ini ialah peranti yang berada di tangan kita.

Potret Lukisan Imam Al-Ghazali

Kebosanan (Boredom)

Kedua-dua tokoh ini; Friedrich Nietzcshe dan Imam al-Ghazali, mempunyai idea yang sama walaupun mereka berada di dua dunia berbeza. Idea mereka membuatkan saya berfikir sangat lama dan menggeledah banyak tulisan dan jurnal tentang apa yang disebut sebagai: boredom.

Sukar juga untuk saya mencari istilah yang sesuai dengan boredom dalam Bahasa Melayu. Yang paling tepat hanyalah “kebosanan”. Boredom bukanlah semata-mata being bored – ini apa yang telah dihuraikan secara teliti oleh John Eastwood. Gustavo Razzetti pun sebut perkara yang sama.

John Eastwood malah menyebutkan, boredom ialah crisis of meaning. Kata Eastwood lagi, keadaan ini memaksa kita untuk reflect bagaimana selama ini kita berinteraksi dengan dunia luar.

Saya sangat menyarankan kita semua untuk menonton semula syarahan Hamza Yusuf bertajuk “Reimagining the Role of Islam for the Future” yang telah disampaikan pada tahun2017 di Singapura.

Hamza Yusuf seolah-olah merumuskan dengan jelas – apa yang kita hilang hari ini ialah kreativiti, dan kreativiti ini hilang kerana kita sudah tiada lagi boredom. Kita sudah tidak lagi merasa bosan.

Kita bermusuh dengan kebosanan. Kita benci merasa bosan. Apabila kita merasa bosan, kita akan mencari rangsangan luar (external stimuli); kita mencari peranti, tablet, atau setepatnya, kita mencari hiburan. Semua ini hari ini boleh didapati dengan sekelip mata sahaja.

Hal ini sangat berbeza dengan zaman dahulu. Sejarah manusia memperlihatkan bagaimana hiburan ialah ‘sesuatu’ yang sangat mahal.

Sejarah tradisi arab misalnya meletakkan penyair sebagai seorang selebriti elitis yang paling mahal dan berharga. Kerana kemampuan bersyair ialah kemampuan yang gifted, dan pada waktu itu, syair ialah hiburan yang sangat mahal.

Zaman tiada peranti seperti hari ini ialah zaman manusia bergelut setiap hari untuk hidup. Mereka terpaksa mencari makanan, tempat tinggal, dan menjaga keselamatan diri dan keluarga. Selebihnya, mereka merasa bosan.

Apa akan terjadi apabila manusia merasa bosan dan manusia tiada akses kepada hiburan seperti yang kita ada hari ini?

Tiada cara lain, manusia terpaksa berinteraksi dengan kebosanan (boredom) mereka.

Terperangkap di dalam kebosanan ini tidak membuatkan kita menjadi bodoh dan dungu, tetapi mencipta sebab-akibat yang lebih baik daripada apa yang kita fikirkan.

Kita akan benci merasa bosan kerana kita mahu lari daripada memikirkan tentang diri sendiri – tentang kejahatan, kejujuran, kesilapan dan kelemahan diri yang terlalu banyak, kita tidak mahu memikirkan tentang dosa dan keterlanjuran masa lalu kerana itu tidak menyeronokkan.

Walaupun hakikatnya, kita perlukan ruang itu. Kita perlu ruang untuk refleksi diri.

Umat manusia kehilangan ruang itu. Umat manusia kehilangan boredom. Dan ini  menyebabkan umat manusia kehilangan kreativiti. Nietzcshe sebut boredom ini sebagai “unpleasant calm that precedes creative acts.”

Hilang kreativiti bererti hilanglah keupayaan menyelesaikan masalah, membuat keputusan, merencana, merangka, dan mengatur urusan seharian. Jadi tidak pelik sekiranya hari ini, lebih ramai orang mencari penyelesaian melalui bertanya orang yang tidak dikenali di media sosial, berbanding bertafakur, merenung, dan menyelesaikan masalah dalam lingkungan kehidupan sendiri.

Nietzcshe memarahi orang ini sebagai “He who foritifies himself completely against boredom fortifies himself against himself too.”

Refleksi Diri

Maaf kerana Nietzcshe memang agak keras berbanding al-Ghazali. Kekosongan dalam diri Nietzcshe telah melahirkan kemarahan yang sangat kreatif. Idea-idea Nietzcshe sangat novel dan terlalu sakit untuk dihadam.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, saya kira ini masanya untuk kita sengaja membiarkan diri kita terperangkap dengan kebosanan – kerana mungkin, ini yang kita perlukan.

Kita perlukan ruang untuk bernafas, untuk bertanya khabar tentang diri sendiri, dan untuk menghitung semula segala perbuatan kita selama ini.

Ingat apa yang Gustavo Razzetti pernah cakap, “kebosanan ialah pelarian”.

Tetapi Gustavo berpesan, kebosanan hari ini tidak semestinya positif, ia boleh menjadi sangat negatif apabila kita sentiasa mencari rangsangan luar untuk mengisi kebosanan. Kita tentu mencari telefon pintar dan tablet. Kata Gustavo Razzetti, “the more distractions and external stimuli we pursue, the more bored we get.”

Akhir sekali, saya mahu berkongsi tentang sebuah buku yang menarik untuk dibaca perihal boredom iaitu “The Upside of Downtime: Why Boredom is Good” karangan Dr Sandi Mann.

Kata Dr Sandi Mann, “The more entertained we are, the more entertainment we need to feel satisfied. The more we fill our world with fast-moving, high-intensity, ever-changing stimulation, the more we get used to that and the less tolerant we become of lower levels.”

Pedih, tetapi tepat.

Sekali lagi saya ulang, saya kira ini masanya untuk kita sengaja membiarkan diri kita terperangkap dengan kebosanan – kerana mungkin, ini yang kita perlukan.