POSKAD EDINBURGH 16: THE INNOCENTS

Filem bertempoh 116 minit ini benar-benar meresahkan saya. Usai menonton, saya membaca semua komentar berkenaan filem yang mendapat 7.4 rating di imdb ini. Ada yang mengatakan filem ini ditonton tanpa tangan tak sempat mengambil bertih jagung. Ada yang keluar seolah-olah tak mengenali siapa. Seolah-olah segala kesedaran telah hilang dirampas filem ini. Seolah-olah kehidupan realiti tidak bergerak dan yang bergerak hanyalah watak Mathilde Beaulieu.

Suatu pagi di semester akhir, saya asyik berborak dengan Dr. Maszlee Malik bertopikkan moraliti melawan agama. Kami meninjau sejarah; bagaimana sekularisme bermula. Kami menjahit tragedi dengan realiti, kenapa manusia membenci agama? Kerana agama sering sahaja melawan moraliti. Inilah yang dikempen secara besar-besaran oleh Dawkins supaya manusia tak bergantung dengan agama kerana agama telah menghilangkan kemanusiaan dalam diri manusia. Tak kurang juga fakta yang dilontarkan Dawkins, ideanya bercerapah membanteras agama dalam konteks penindasan moraliti yang berpanjangan. Ketika menonton debat Dawkins dengan Tariq Ramadan, akhirnya saya akur; dalam banyak keadaan Dawkins benar tetapi ada sisi agama Islam yang Dawkins tak nampak.

Saya pernah menulis satu cerpen tentang moraliti melawan agama, atau melawan tuhan, atau lebih tepat seperti yang P.K katakan dalam filem P.K lakonan Amir Khan; melawan ‘tuhan’ yang manusia ciptakan. Cerpen berjudul Surat Untuk Jolanda itu terpilih menghiasi jendela sastera di Berita Harian dan banyak pembaca daripada rakan-rakan berbincang tentang fakta yang saya kemukakan dan persoalkan. Lihat sahaja segala tempat bersejarah di Mekah dan Madinah yang dihancurkan oleh kerajaan Arab Saudi gara-gara atas nama ‘agama’ yang mereka fahami. Tempat tidur Nabi SAW misalnya dihapuskan kerana risau manusia syirik dan menyembahnya. Memang kerisauan itu bertempat tetapi cara menanganinya adakah perlu menghapuskannya? Tak bolehkah dengan kuasa yang ada pendidikan tentang apresiasi sejarah disuburkan dengan baik dan melata?

Sejarah antara moraliti yang agama Islam seperti faham sesetengah pihak menolaknya mentah-mentah. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada perdebatan tentang boleh-tak-boleh Maulud Nabi SAW. Ada pihak mempertikaikan Maulud sebagai sebuah bid’ah, ada pula yang mengesahkan Maulud sebagai sunnah. Apa masalahnya? Kenapa perlu melihat Maulud dari perspektif ritual agama? Maulud tak perlu dilihat macam ritual sembahyang. Anggap sahajalah Maulud ialah majlis sosio-budaya menghargai sejarah tokoh terbesar umat Islam dunia. Seperti mana kita menyambut Majlis Kemerdekaan, Hari Kebangsaan, atau Hari Lahir sesiapapun, semuanya tak ada masalah dan tak pernah mengkufurkan sesiapa. Semuanya dibuat untuk menghargai sejarah. Penghargaan kepada sejarah ialah moral yang sangat besar dan penting. Cuma Maulud seharusnya lebih bersifat sejarah berbanding ritual. Sejarah hidup Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam perlu dikedepankan berbanding selawat Ya Hanana supaya non-muslim juga boleh hadir dan mengenali tokoh penting umat Islam ini. Di samping menghafal semua teks selawat dan qasidah, seharusnya lebih penting menghafal semua nama, tempat dan tarikh peristiwa bersejarah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.  Sekurang-kurangnya bila orang sebut Rahiq al-Makhtum kita kenal dan pernah baca.

Konflik moraliti menentang agama sangat evergreen dan sentiasa relevan sepanjang zaman. Filem The Innocents berjaya mendedahkan dalam cerita dan momentum yang bergerak laju, penuh kejutan dan persoalan, penuh kedut di dahi dan tanda tanya di kepala. Lihat sahaja sekian ramai penganut agama Islam di negara kita yang tak sanggup nak bagi makan anjing kelaparan sebab takut tersentuh anjing. Sedangkan kita semua tahu dan sedar bagi makan binatang ialah moral yang sangat penting. Tak kisahlah binatang itu apa, moral tak pernah mengecualikan sesiapa. Anjing itu the innocent dan kita tak ada hak untuk bersikap mengecualikannya apatah lagi menzaliminya.

The Innocents mengajar kita bahawa agama yang menentang moraliti ialah agama ciptaan, bukan agama Tuhan yang sebenar. Mujur sahaja The Innocents membawa agama Kristian Katolik sebagai konflik. Mujur sahaja Anne Fontaine tak tahu atau tak mengambil peduli isu-isu moral yang diketepikan sesetengah penganut agama Islam selama ini.

The Innocents menceritakan tentang sekumpulan biarawati di sebuah sekolah convent yang sarat mengandung — semua orang tahu di dalam agama Kristian, biarawati dilarang melangsungkan hubungan kelamin. Di zaman peperangan apa sahaja boleh berlaku. Sekumpulan tentera Rusia telah meredah masuk ke sekolah ini dan merogol biarawati-biarawati tersebut. Demi menjaga nama baik biarawati agama Kristian, mereka merahsiakannya daripada pengetahuan masyarakat sehinggalah salah seorang biarawati sudah sarat dan pecah ketuban. Seorang biarawati berlari ke pekan dan menemui sebuah kem tentera German dan menemui Mathilde sebagai jururawat di kem tersebut lalu merayu Mathilde untuk menolong mereka.

Anne Fontaine tak hanya meninggalkan kita dengan konflik itu. Mathilde ialah seorang komunis yang tidak percaya kepada kewujudan tuhan dan terpaksa merawat sekumpulan biarawati yang kepercayaan kepada tuhan melebihi segala-galanya. Semua orang tahu biarawati mempunyai pantang larang mereka. Badan mereka tak boleh dibuka dan disentuh oleh sesiapa yang bukan dari kalangan mereka. Bagaimana Mathilde mahu menyambut kelahiran bayi mereka?

Konflik demi konflik menghujani mereka apabila seorang demi seorang sudah sarat dan hampir sampai bulan. Ketika agama diharapkan memberi harapan, agama juga tiba-tiba menampar manusia dengan ujian yang tidak terbayangkan. Ah, Anne Fontaine memang berjaya meresahkan saya. The Innocents berjaya membuatkan saya termenung dan menggeledah semua bacaan tentang moral. Bagaimanakah mahu menyelamatkan moral dengan kefahaman agama yang sebenar?

Tontonlah The Innocents untuk menonton wajah agama yang merogol moraliti dengan ganas dan ekstrim sekali. Semoga kita termasuk dalam golongan yang beragama dengan cara yang sebenar. Amin!

Hafizul Faiz Written by:

Hafizul Faiz atau nama penuhnya Mohd. Hafizul Faiz Bin Hashim merupakan penulis kelahiran Sik, Kedah. Kini sedang menamatkan pengajian di tahun akhir Pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Bahasa & Susastera Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Telah menulis tiga buah buku travelog. Travelog Budak Mentah (terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd), Isnin & Rabu Bersama Bro. Sham (terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd) dan Saat Aku Tergelincir Lagi (terbitan Karya Bestari Karangkraf Sdn. Bhd). Keinginan penulis untuk menerbitkan sebuah buku puisi terlaksana akhirnya dengan buku puisi "Kau Menjadi Kata-kata Yang Tak Sempat Aku baca" yang merupakan naskhah sulung kumpulan puisi beliau terbitan Grup Karyawan Luar Negara. Seterusnya penulis menerbitkan novel sejarah sulung beliau berjudul "Surat-surat Dari Maninjau". Perkembangan penulis boleh ditinjau di Hafizul Faiz (Facebook Page), @hfaiz92 (Instagram dan Twitter).

Be First to Comment

Leave a Reply