SEMENTARA MENUNGGU BAS NO.36

Give me a cup of coffee and I will drive you the castle of stories.
Ada banyak perkara yang menjadikan saya orang yang biasa pada hari ini. Antaranya ialah menunggu matahari terbit dan mengharapkan hari ini awan tidak terlalu mengamuk sehingga melindungi cahaya matahari. Di depan jendela kecil di rumah (sebuah rumah berkonsep studio) saya sering merenung dan melihat cahaya matahari cuba mencari sela-sela meskipun sempit untuk memanah saya. Saya sering menjadikan sejambak Tulip di jendela yang saya hadiahkan kepada isteri menjadi sudut saya memandang cahaya matahari. Matahari akan naik seperti biasa dan Tulip akan semakin indah seperti biasa.
Hari ini hari Jumaat dan saya perlu ke masjid. Masjid yang terdekat dengan rumah saya ialah Anandale Mosque. Di Edinburgh hanya ada tiga masjid. Mujur sahaja saya tidak perlu mengambil banyak masa berjalan. 10 minit berjalan kaki saya sudah sampai di masjid. Zohor masuk jam 12.16 Petang tetapi solat Jumaat akan bermula pada jam 1.15 Petang dan habis jam 1.35 Petang. 20 minit sahaja semuanya. Ini adalah kerana mahu memberikan ruang kepada pekerja-pekerja yang cuma mempunyai waktu sejam untuk rehat. Scotland bukan Malaysia.
Saya akan masuk ke masjid melalui pintu sebuah kedai karpet Pakistan. Saya akan memasukkan kasut saya ke dalam plastik dan memasukkannya pula ke dalam beg galas saya. Saya akan menggantung baju sejuk tebal saya di penyangkut yang paling hujung dan akan duduk di saf ketiga masjid. Sebelum khutbah bermula saya akan mendengar tazkirah daripada Syeikh Hasan; seorang pensyarah di Universiti Edinburgh dan juga imam masjid Anandale. Syeikh Hasan mempunyai pengetahuan mendalam tentang sufisme khususnya Islamic Sufism. Saya pernah berbual-bual dengan syeikh tentang kedudukan syair-syair Hafez dan Sa’adi yang penuh dengan penghayatan meta khayalan, yang kadang-kadang berpotensi untuk disalahtafsirkan. Syeikh menyebut bahawa self adalah peranan penting dalam menentukan hukum setiap suatu perkara.
Menjadi Muslim di negara bukan Muslim ternyata tidak mudah. Jika kita membaca Memburu Kesepian di Bumi Geordy karya Dr. Maszlee Malik kita akan faham ada ruang-ruang di mana kita berperang dengan diri kita sendiri berkaitan soal-soal prinsip agama. Syeikh benar. Ada dua elemen penting untuk ditelusuri terlebih dahulu sebelum kita pergi kepada soal hukum; iaitu prinsip dan self (diri sendiri).
Di sini kita tidak boleh bergantung hanya pada hukum. Hukum tak akan datang tanpa konteks. Saya sering berbual-bual dengan isteri. Kadang-kadang beliau minta pandangan segala perkara termasuklah perkara-perkara yang kecil yang boleh memberi kesan kepada imej Islam. Saya banyak bertemu dengan ahli-ahli daripada Islamic Society of Edinburgh University (ISOCEd) yang semuanya sudah tentu Muslim tetapi latar belakang mereka sangat pelbagai. Pokok permasalahan agama yang sering dibincangkan tetap sama; hukum dan perbahasannya.
Saya katakan hukum tidak menjadi asas kepada kehidupan kita. Prinsip dan nilai agama adalah asasnya. Hukum datang dengan pelbagai elemen penting. Ada dua orang perempuan tidak berhijab dan mereka memberikan alasan kenapa mereka tidak berhijab. Seorangnya memberitahu bahawa dia faham hijab melalui perbahasan yang lain. Seorang lagi memberitahu bahawa dia tinggal di negara ini dan tidak berhijab menyelamatkan dirinya daripada cemuhan masyarakat. Memang di sini menjadi Muslim juga bererti menghormati dominan culture. Itu tidak boleh dinafikan.
Tetapi apakah yang membezakan kedua pandangan tadi? Saya membayangkan saya seorang mufti dan sekarang saya akan menjatuhkan hukum.
Kedua-dua perempuan tadi mempunyai sebab yang sebenarnya valid untuk mereka membuat keputusan ke atas diri mereka. Tetapi hukum tidak datang hanya dengan sebab luaran, hukum sangat tergantung dengan sebab dalaman. Self adalah jawapan yang lebih tepat. Memahami diri sendiri (self) adalah faktor utama hukum terhadap diri sendiri jatuh. Di antara kedua pandangan perempuan tadi saya katakan ada satu garisan halus yang memisahkan niat dan objektif mereka; adakah mereka mahu gain the faithfulness atau mereka mahu to please the dominan culture? Adakah mereka mengambil sesuatu hukuman untuk “beriman” atau “untuk menyelesakan diri sendiri”?. Ada pula yang kata, bukankah menyelesakan diri di mana-mana setting sosial ialah beriman? Memang, tetapi yang mana datang dahulu?
Ramai orang mengambil sesuatu hukum hanya untuk menyelesakan dirinya sendiri sesuai dengan setting latar dalaman dirinya, tetapi berapa orang yang mengambil sesuatu hukum untuk jadi benar-benar beriman? Syariah Islam tidak datang dengan peraturan yang hanya sebuah perlembagaan bertulis tetapi datang dengan aspek spiritual yang amat penting. Kita mengambil sesuatu pandangan bukan untuk menyelesakan fikiran kita, tetapi untuk menjadikan hati kita lebih beriman kepada-Nya. Dua hal yang sangat sukar dibezakan tetapi ia memang berbeza.
Maaf, terpanjang pula tulisan saya kali ini. Cuma mahu mengomel di hujung minggu dan sesekali berkongsi perjalanan sederhana saya di sini. Bas no. 36 sudah menunggu saya. Saya pergi dulu.
Hafizul Faiz Written by:

Hafizul Faiz atau nama penuhnya Mohd. Hafizul Faiz Bin Hashim merupakan penulis kelahiran Sik, Kedah. Kini sedang menamatkan pengajian di tahun akhir Pengajian Sarjana Muda dalam jurusan Bahasa & Susastera Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Telah menulis tiga buah buku travelog. Travelog Budak Mentah (terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd), Isnin & Rabu Bersama Bro. Sham (terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd) dan Saat Aku Tergelincir Lagi (terbitan Karya Bestari Karangkraf Sdn. Bhd). Keinginan penulis untuk menerbitkan sebuah buku puisi terlaksana akhirnya dengan buku puisi "Kau Menjadi Kata-kata Yang Tak Sempat Aku baca" yang merupakan naskhah sulung kumpulan puisi beliau terbitan Grup Karyawan Luar Negara. Seterusnya penulis menerbitkan novel sejarah sulung beliau berjudul "Surat-surat Dari Maninjau". Perkembangan penulis boleh ditinjau di Hafizul Faiz (Facebook Page), @hfaiz92 (Instagram dan Twitter).

Be First to Comment

Leave a Reply